Idris Haron

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pembinaan projek empangan air yang terbaharu itu menjadi perancangan kerajaan negeri sebelum ini bagi mengatasi masalah bekalan sumber air sedia ada dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak memulakan usaha membina empangan baharu, Melaka akan mula mengalami defisit bekalan air mulai 2018. Untuk itu pembinaan empangan baharu perlu dibuat segera kerana kita tidak mahu peristiwa hitam krisis bekalan air di Melaka pada 1991 berulang.

“Projek Empangan Air Sungai Jernih dijangka dapat menampung permintaan air meliputi kawasan Kuala Sungai Baru, Simpang Ampat dan Lubok Cina, seterusnya membekalkan air rawatan sehingga 2030,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri anjuran Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Seri Negeri di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd. Khalid Nasir.

Idris berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah bagi menambah sumber air termasuk membina loji air menggunakan Sistem Pengapungan Secara Udara Terlarut atau Dissolved Air Floation (DAF) yang berkapasiti 120 juta liter air sehari serta memperbesarkan loji air Merlimau dengan anggaran sebanyak 55,000 meter padu air sehari.

Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperuntukkan RM380.35 juta di bawah operasi pertama bagi me- laksanakan enam komponen projek termasuk loji rawatan air baharu, menaik taraf dan membaik pulih loji rawatan air sedia ada, sistem rangkaian paip baharu dan pembinaan kolam air.

“Bagi tempoh operasi kedua, SPAN turut meluluskan peruntukan sebanyak RM315.87 juta untuk projek baharu bagi tempoh 1 November 2012 hingga 31 Oktober 2015 termasuk loji rawatan air baharu, menaik taraf dan membaik pulih loji rawatan air sedia ada serta program kawalan pembaziran air tidak berhasil (NRW),” katanya.