Penyampaian sumbangan ter­sebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Mohamad Aziz yang turut menyampaikan sumbangan air zam-zam dan kurma kepada waris serta keluarga jemaah ber­kenaan.

Jemaah haji terbabit ialah Allahyarham Noridah Mohd., 53, dari Kampung Gadek di sini yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dan Allahyarham Wahid Sagap, 63, dari Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru yang meninggal dunia kerana jangkitan kuman.

Menurut Mohamad, sumba­ngan tabung khairat kematian berjumlah RM1,500 itu diharap dapat membantu meringankan beban keluarga jemaah haji ter­sebut selain dapat digunakan untuk mengadakan majlis kenduri tahlil untuk mereka yang telah pergi.

“Program ziarah ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tabung Haji terhadap mana-mana keluarga jemaah yang me­ninggal dunia ketika melaksanakan ibadat haji dan ia diadakan mengikut negeri.

“Tabung Haji berharap kunjungan ini dapat menghilangkan rasa sedih ahli keluarga jemaah yang kehilangan ahli keluarga dan kita sama-sama mendoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi keluarga Allahyarham Noridah di Kampung Gadek di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Tabung Haji Melaka, Noramat Abd. Rahman dan Pe­ngurus Perhubungan Media Ta­bung Haji, Hisyam Samad.

Allahyarham Noridah yang merupakan guru Fizik dan Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tebong meninggal dunia di Mina pada 1 September lalu.

Arwah menunaikan haji bersama suami, Ismail Mohd. Amin, 55, meninggalkan empat orang anak iaitu Mohd. Kamil, 24; Farah Syahira, 23; Fairuz Elani, 21, dan Danial Fitri, 18.

Ismail dijadual tiba dari tanah suci pada 22 September ini.

Sepanjang ketiadaan pasa­ngan itu menunaikan ibadat haji, anak-anak mereka ditinggalkan di bawah jagaan kakak dan abang Allahyarham, Aminah Mohd. dan Abdul Kadir Mohd.

Mohd. Kamil ketika ditemui berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ibunya adalah sewaktu menghantarnya ke Mekah pada 24 Ogos lalu dan ketika itu arwah ibunya tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

“Arwah sebelum ini sihat sebelum pergi menunaikan haji dan kami sekeluarga tidak menyangka ibu akan meninggal dunia di sana namun kami reda dengan ketentuan-Nya,” katanya yang membantu perniagaan bapanya di Alor Gajah.