Pengurus SWM Wi­layah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al' Ashari Othman berkata, pihak­nya me­nyedari keperluan pembinaan sel baharu itu memandangkan ta­pak tersebut menerima jumlah buangan yang tinggi mencecah 1,000 tan sisa pepejal sehari.

Menurutnya, walaupun tapak berkenaan telah diperluaskan tahun ini, namun ia dilihat tidak mencukupi untuk menampung jumlah buangan untuk tempoh panjang dan pembinaan sel baharu dapat mengurangkan bebanan tersebut.

“Justeru, tapak sedia ada di­jangka boleh menampung sampah sehingga hujung tahun ini dan da­lam masa sama, sel baharu juga telah mendapat kelulusan dan akan dibina sebelum tapak pelupusan itu penuh.

“Bagaimanapun, kita masih belum boleh pastikan bila sel baharu itu akan siap, namun memberi jaminan ia akan dapat selesai sebelum tapak sedia ada penuh,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Kasih - Senyum Syawal SWM Melaka di sini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew dan Pe­ngarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik.

Jelas Al' As­hari, apa yang penting kajian me­ngenai kerja tanah dan kejuruteraan persekitaran sel baharu itu telah dibuat dan ia diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pembinaan sel baharu ber­kenaan dijangka akan mengurangkan tekanan si­sa buangan di kawasan tersebut dalam tempoh masa yang lebih lama,” kata beliau.

Sementara itu, pada majlis tersebut, SWM turut meraikan 40 anak yatim dari Darul Ulum Al-Islamiah, Bukit Katil di sini dengan pelbagai hidangan istimewa hari raya selain sumbangan duit raya.

“Program julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti SWM untuk berkongsi keceriaan Syawal bersama golo­ngan kurang bernasib baik,” tambahnya.