Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata persefahaman dalam pasukan itu amat diperlukan selain melihat gandingan pemain di setiap posisi masing-masing menunjukkan peningkatan termasuk bahagian hadapan yang mula mendapat rentak mencipta peluang dan penyudah di depan gawang.

Pengendali berusia 58 tahun itu turut berpuas hati dengan persembahan pemain import dalam percubaan dari Brazil, Anselmo Casagrande yang memberikan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Singapura, Warrior FC malam tadi, biarpun baharu tiba di negeri ini pada Jumaat lepas.

"Gandingan beliau (Cassagrande) dan seorang lagi pemain import, Luka Milunovic menampakkan keserasian biarpun hanya digandingkan dalam latihan beberapa hari lalu dan kita berharap gandingan ini akan bertambah mantap menjelang aksi sebenar liga.

"Secara keseluruhan kita dapat lihat permainan lebih teratur oleh semua pemain, namun saya tidak menafikan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan mana perkara baik ia perlu dipertingkat serta diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Beliau ditemui pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi dengan Casagrande turut berjaya membantu Skuad Sang Kancil meraih kemenangan selesa 5-1 ke atas Warrior FC menerusi dua gol yang dijaringkan pada minit ke-15 dan minit-34.

Tiga lagi jaringan Melaka United disumbangkan menerusi Devan Raj pada minit ke-27, Milunovic (minit-39) dan Nurshamil Abd Ghani (minit-53) manakala gol Warrior FC, pasukan daripada Singapura, dijaringkan Sahil Suhaimi pada minit ke-83.

Mengulas lanjut, Zainal berkata beliau berpuas hati dengan aksi dipamerkan barisan pertahanan Melaka United yang diketuai pemain berpengalaman seperti Shukor Adan dan Razman Roslan.


"Dengan pemain-pemain tonggak ini kita percaya mereka akan berikan sesuatu yang terbaik, cuma memerlukan sedikit masa untuk pertingkatkan prestasi," katanya.


Sementara itu, Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata beliau berharap Zainal akan menggunakan kelebihan yang ada pada Casagrande pada perlawanan yang akan datang.


"Kita membawa beliau ke dalam pasukan atas rekod cemerlang sentuhan pemusnah yang dimiliki dan reputasi sebagai penjaring gol terbanyak ketika bersama pasukan sebelum ini, jadi kita berharap sentuhan itu juga akan menjadi bersama Melaka United," katanya.

Melaka United akan berlepas ke Vietnam petang ini untuk tiga aksi persahabatan bersama kelab di negara itu seterusnya akan kembali bagi aksi menentang Sarawak pada 21 Jan di Stadium Hang Jebat.- BERNAMA