Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.40 peratus berbanding 2008 dan ia juga mengatasi peratus nasional sebanyak 11.46 peratus.

''Secara keseluruhannya, keputusan STPM bagi negeri ini pada 2009 adalah baik dengan 13 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 10 buah pada 2008.

''Sebanyak 21 calon pula memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan mendapat 4 prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Daripada 21 calon itu menurut beliau, 10 orang adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka, SMK Gajah Berang (4), SMK Yok Bin (2) dan seorang masing-masing dari SMK Seri Kota serta SMK Abdul Rahman Yakub.

Secara keseluruhannya kata beliau, Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 0.30 peratus berbanding tahun 2008 dalam peperiksaan tersebut.

Pada tahun ini katanya, seramai 1,252 calon peratus telah mencapai kelulusan penuh atau sebanyak 96.31 peratus berbanding 1,204 calon dengan kelulusan 96.1 peratus pada 2008.

Katanya, bagi jumlah calon yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas ialah seramai 428 orang.

''PNGK negeri secara keseluruhan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 iaitu dari 2.42 peratus pada 2008 meningkat kepada 2.49 peratus pada 2009," katanya.

Mengenai prestasi sekolah pula, Isa berkata, bilangan sekolah yang lulus penuh 100 peratus juga meningkat dari 10 buah sekolah pada 2008 kepada 13 buah sekolah tahun lalu.

Sekolah tersebut ialah SMKA Sultan Muhammad, SMK Iskandar Shah, SMK Gajah Berang, SMK Tinggi Melaka, SMK Yok Bin, SMK Tinggi Perempuan, SMK Seri Mahkota, SMK Dato' Dol Said, SMK Teknik Melaka, SMK Dato' Haji Talib Karim, SMK Pulau Sebang, SMK Munshi Abdullah dan SMK Ghafar Baba.

''Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan yang baik.

''Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengetua dan guru yang memberikan komitmen tinggi bagi memastikan pelajar memperoleh keputusan cemerlang," katanya.