Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, silat pada masa kini bukan hanya dilihat sebagai wa-risan dan kebanggaan masyarakat Melayu sebaliknya dijadikan medium penyatuan masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Menurutnya, masyarakat hari ini sudah tidak boleh terpengaruh de­ngan dakyah dan pemikiran kolot mengatakan silat hanya terikat dengan ajaran kebatinan dan sering dikaitkan dengan ajaran sesat.

“Sebaliknya, seni silat mampu membina displin dan jatiri diri yang teguh demi semangat patriotisme dan sayangkan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Seni Silat Kota Sendeng Asahan Melaka di Restoran Melayu Melaka, di sini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan ne-geri, Datuk Norpipah Abdol dan Pengerusi Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik.

Jelas Idris, seni bela diri nusantara itu kini mula diangkat dan dipertandingkan dalam pelbagai acara bertaraf kebangsaan serta antarabangsa seperti Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Sea dan Kejohanan Pencak Silat Dunia.

“Banyak persatuan silat juga telah mula membuka gelanggang latihan di sekolah dan pusat pengajian tinggi seluruh negara yang secara tidak langsung menjadikan seni mempertahankan diri ini semakin dikenali,” ujarnya.

Sementara itu katanya, bagi memastikan persatuan silat di negara ini terus 'hidup' dan aktif, persatuan-persatuan silat perlu terus mengatur langkah maju ke hadapan.

“Persatuan perlu mempunyai kerjasama strategik dengan lain-lain persatuan silat atau kebudayaan supaya wujud kerjasama untuk membentuk ukhuwah dan persefahaman dalam membantu menaikkan nama silat di persada negara dan nusantara,” katanya.