Walaupun cerita beliau pernah tersiar beberapa kali namun tidak salah rasanya jika penghormatan itu terus diberikan terhadapnya ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan 2015 tidak lama lagi.

Terdapat dua sebab kenapa anak jati berasal dari Kampung Parit Raja, Muar, Johor, ini wajar diberi ruang iaitu pertama, beliau tidak pernah putus asa untuk menghiasi rumahnya sejak 15 tahun lalu dan sanggup berhabisan lebih RM1,000 setiap tahun untuk menambah koleksi Jalur Gemilang di rumahnya.

Kedua, meskipun pernah memenangi beberapa anugerah termasuk di peringkat negeri dan kebangsaan, Md. Rahim yang kini menetap di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek dekat sini tidak putus asa dan terus menambah koleksi simpanan dan hiasan Jalur Gemilang di rumahnya saban tahun.

“Bagi saya bukan melakukan ini untuk bertanding dan memenangi gelaran. Sebaliknya saya ingin menjadi seorang rakyat Malaysia yang tinggi jati diri, sayangkan negara dan berbangga menjadi rakyat negara ini.

“Apa yang saya lihat sekarang, untuk mencari seorang rakyat yang cintakan negara dan membuat semua perkara seperti saya lakukan ini amat sukar, kalau di setiap negeri itu daripada 10 orang hendak cari seorang pun susah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya baru-baru ini.

Md. Rahim adalah antara rak­yat Malaysia yang mempunyai cara yang tersendiri menonjolkan semangat patriotik dan kecintaannya kepada negara iaitu de­ngan menghias rumah dengan Jalur Gemilang bukan sahaja setiap kali menjelang Hari Kebangsaan malah sepanjang masa.

Sebaik sahaja tiba di hadapan rumahnya di deretan taman perumahan Taman Pisang Mas Jaya itu, mereka yang kali pertama pasti terpegun apabila melihat ratusan Jalur Gemilang digantung dan dipasang menutupi bahagian hadapan rumahnya.

Idea hiasannya tidak dipelajari daripada sesiapa namun Md. Rahim menghiasnya sendiri dengan bantuan isteri, Zurinah Kepol, 47, malam minat pasangan suami isteri itu sudah difahami oleh jiran sekeliling.

Rumah Md. Rahim bukan dihiasi dengan satu atau dua Jalur Gemilang tetapi lebih 500 ben­dera dalam pelbagai saiz sehingga kelihatan seperti sebuah muzium kemerdekaan.

Selain itu, bahan terbuang se­perti tin susu yang dianggarkan le­bih 300 biji dan dibalut dengan Jalur Gemilang turut digunakan menghiasi halaman rumahnya.

Lebih menarik apabila dulang lama dijadikan bingkai gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kesemua lima bekas Perdana Menteri yang menghiasi laluan masuk ke rumahnya yang diduduki sejak tahun 2000.

Atas idea kreatif itu Md. Rahim pernah menerima anugerah johan kategori individu Pertandingan Keceriaan Merdeka 2013 peringkat kebangsaan dan pernah muncul sebagai johan kategori rumah berhias sempena kemerdekaan pe­ringkat negeri selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2011, 2012 dan 2013.

Menurutnya, kos keselu­ruh­an bagi mencipta ‘muzium kemerdekaan’ itu hanyalah kira-kira RM1,000 dan lebih separuh barang hiasan menggunakan bahan bua­ngan seperti tin susu dan batang pokok.

“Kos untuk membuat hiasan Jalur Gemilang ini adalah lebih RM1,000 termasuk saya menggunakan bahan-bahan buangan yang digunakan semula malah ada barangan yang diberikan oleh rakan-rakan yang tahu minat saya ini.

“Saya juga menempah dua pasang baju Melayu dan baju kurung yang diperbuat daripada Jalur Gemilang untuk dipakai oleh saya dan isteri dengan kos RM500 untuk dua pasang,” katanya.

Katanya, minat dan cinta terhadap Jalur Gemilang ini bukan kerana dia pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi menjadi tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia yang menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

Md. Rahim berkata, dia turut bersedih apabila melihat ada di antara rakyat negara ini tidak langsung berbangga mengibarkan Jalur Gemilang dan terlalu berkira untuk membeli walaupun sehelai yang harganya kurang RM5 ter­utamanya di bulan kemerdekaan ini.

Ditanya mengenai bagaimana muncul minat untuk menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang, Md. Rahim berkata pada mulanya beliau hanya ingin memasang beberapa helai Jalur Gemilang di rumah kerana melihat beberapa jiran memasangnya dan kelihatan cantik.

Menurutnya, selepas bermula dengan beberapa helai Jalur Gemilang, minat itu semakin mendalam membuatkan dia sanggup menghias dan mengubah suai bahagian hadapan dan ruang letak kereta rumahnya itu menjadi seperti galeri kemerdekaan.

Selain itu, mintanya turut mendapat perhatian jiran serta penduduk taman apabila Md. Rahim menyertai pertandingan hiasan Jalur Gemilang peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Kesela­matan Kampung (JKKK) dan muncul sebagai juara.

“Bagi saya ini adalah salah satu cara saya menunjukkan rasa cinta kepada negara dan berharap ge­nerasi akan datang terus dididik supaya mempunyai semangat patriotik,” katanya.