IDRIS HARON

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, dua faktor utama yang menyebabkan Melaka menjadi pilihan rakyat Indonesia untuk menerima rawatan adalah kos yang murah selain jarak yang dekat.

Beliau berkata, Kepulauan Riau yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak kira-kira 5.5 juta manakala jumlah penduduk di Kepulauan Sumatera sebanyak 55 juta orang menjadikan Melaka berpeluang menarik lebih ramai pelancong dari negara republik itu untuk menggunakan perkhidmatan pelancongan kesihatan.

"Peningkatan jumlah pelancong Indonesia yang mendapatkan rawatan kesihatan di empat buah hospital di negeri ini iaitu Hospital Pakar Putra, Pusat Perubatan Mahkota, Hospital Pakar Pantai dan Pusat Perubatan Oriental Klebang membuktikan Melaka menyediakan kemudahan khidmat pelancongan kesihatan yang terbaik sehingga mampu menarik minat mereka.

"Apa yang menggembirakan adalah kebanyakan pelancong Indonesia yang pernah menerima rawatan di hospital di Melaka memberitahu mereka berasa selesa kerana pakar-pakar di sini menggunakan istilah dan bahasa Indonesia termasuk terma penyakit sehinggakan mereka seperti di tempat sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Hotel Ramada Plaza di sini baru-baru ini.


Menurut Idris, Melaka perlu menggunakan kelebihan itu untuk terus menarik minat pelancong asing khususnya dari Indonesia melawat negeri ini malah beliau baru pulang daripada Misi Galakan Pelancongan Melaka ke Pekanbaru baru-baru ini.

Katanya, hubungan antara Melaka dan Indonesia yang terjalin sekian lama akan terus dipereratkan lagi terutama memastikan kelangsungan industri pelancongan berkembang pesat dan lebih dinamik.

"Indonesia antara pasaran terbesar pelancong ke Malaysia dan tahun lalu saja 2.45 juta pelancong dari si ini mengunjungi negara kita.

"Dari jumlah tersebut, 678,572 orang menjadikan Melaka destinasi pilihan berbanding 591,324 orang pada tempoh sama tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak 14.75 peratus. Ia sekali gus menjadikan pelancong Indonesia sebagai pasaran pelancong asing ketiga terbesar melawat Melaka selepas Singapura dan China," katanya. - UTUSAN ONLINE