Ketua Menteri, Adly Zahari ber­kata, pihaknya menunggu la­poran daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) selewat-lewatnya hujung tahun ini dan jika berjalan lancar, perancangan mengenai pembinaan tersebut dijangka bermula pada tahun depan.

“Kita akan meneliti laporan Ikram yang membuat penilaian sebelum pasar itu perlu dilupuskan dan disebabkan pasar Melaka Sentral adalah aset kerajaan jadi kita perlu bertindak merancang pembangunan masa depan.

“Kerajaan negeri perlu mempercepatkan proses tersebut kera­na pasar kekal adalah keperluan utama rakyat Melaka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di pasar sementara di Bachang di sini, baru-baru ini.

Kerajaan negeri Barisan Nasional pada 2016 mengumumkan akan memindahkan segera sebanyak 342 peniaga di Pasar Besar Melaka Sentral itu ke tapak sementara bagi kerja-kerja pe­ngubahsuaian bangunan tersebut berikutan laporan terdapat tanah mendap di kawasan itu.

Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau menerima laporan daripada Ikram yang membuat kajian di kawasan tapak bangunan pasar berkenaan dan mendapati tapak asas bangunan itu lemah dan tidak mampu menanggung beban jika terus beroperasi.

Kesemua peniaga kemudian ditempatkan di tempat letak kenderaan berhadapan pasar berkenaan sementara lokasi baharu dikenal pasti sebelum dipindahkan ke pasar sementara di Bachang pada penghujung tahun lalu.

Sementara itu menurut Adly, pembinaan pasar baharu itu ber­kemungkinan dikekalkan di tempat sama yang berkeluasan 18.6 hektar dengan mengambil kira akses pengangkutan awam yang mudah kerana terletak bersebelahan terminal bas dan teksi Melaka Sentral selain tempat letak ken­deraan yang mencukupi.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan pasar baharu tersebut termasuk jangka masa untuk menyiapkannya.

Dalam perkembangan sama, Adly memberitahu, pihaknya bersetuju untuk menambah ruang tempat letak kenderaan di pasar sementara yang menjadi masalah utama kepada pengunjung ber­ikutan jumlahnya yang terhad sehingga menyebabkan peniaga kehilangan kira-kira 40 peratus pelanggan.

“Kita sedang mengenal pasti tapak baharu dan akan mempercepatkan proses itu dan jangkaannya (siap) pada Ogos ini,” katanya.