Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, terminal bas yang menggantikan Perhentian Bas Pulau Sebang itu akan memberi perkhidmatan awam yang lebih cekap serta selesa kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, projek memba­ngunkan kawasan di atas keluasan tanah 0.61 hektar itu menelan kos RM5 juta yang mampu me­nempatkan kira-kira 14 ruang letak bas domestik dan antara bandar.

“Selain itu, terdapat satu blok bangunan tiga tingkat rumah turut dibina di kawasan tersebut bagi kemudahan aktiviti perniagaan di situ.

“Sebang Sentral juga dilengkapi kemudahan lain seperti surau, tandas awam dan kiosk jualan selain laluan berbumbung yang menghubungkan laluan jejambat ke stesen Keretapi Pulau Sebang, Tampin” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Sebang Sentral di sini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, Datuk M. S. Mahadevan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Ismail Hasim.

Pada masa sama, Idris memberitahu, kewujudan infrastruktur baharu itu bukan sahaja bakal menjadi tumpuan masyarakat di Melaka, malahan seluruh negara kerana berhampiran stesen kereta api yang menghubungkan pengguna dari pelbagai destinasi.

“Difahamkan kira-kira 1,000 penumpang menggunakan pengangkutan itu setiap hari dan ia tidak mustahil untuk mencecah hingga 5,000 atau 6,000 pada masa akan datang, sekali gus me-rancakkan lagi kemajuan pembangunan kawasan ini,” katanya.