Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd. Nawi Othman berkata, pihaknya menyasarkan prestasi jualan sebanyak RM10.5 juta tahun ini berdasarkan peningkatan secara konsisten setiap tahun.

Menurutnya, sehingga Februari ini, nilai jualan pasar tani yang direkodkan adalah sebanyak RM1.7 juta dan pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai dengan pertambahan jumlah peserta dan lokasi baharu serta kekerapan waktu operasi.

"Sehingga kini terdapat sebanyak 18 buah pasar tani aktif di Melaka iaitu daerah Alor Gajah sebanyak lapan, Jasin (6) dan Melaka Tengah (4) termasuk satu lokasi baharu iaitu Pasar Tani Sungai Udang di Melaka Tropikal Fruit Farm (MTFF).

"Sambutan daripada pengguna di setiap lokasi amat menggalakkan berikutan pelbagai barang keperluan harian yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan selain program-program lain yang menarik kehadiran pengunjung ke pasar tani," katanya.

Beliau berkata demikian kita ditemui selepas Majlis Pelancaran Pasar Tani Pasar Tani Sungai Udang MTFF yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd. Rahman.

Mohd. Nawi berkata, pasar tani baharu itu melibatkan seramai 80 usahawan pelbagai komoditi dengan menawarkan lebih 200 produk seperti ayam, daging, makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, makanan dan minuman, nurseri dan sebagainya.

Katanya, dengan adanya pasar tani itu ia dapat meningkatkan pendapatan usahawan, petani dan penternak sekitar kawasan Sungai Udang di samping menawarkan harga yang kompentitif kepada pengguna iaitu hasil pertanian terus dari ladang dan barang keperluan harian.

"Ini secara tidak langsung membolehkan usahawan tani memperkenalkan dan memasarkan produk di samping membantu MTFF mempromosi tempat sebagai kawasan agropelancongan," katanya.