Peserta yang dibahagikan kepada beberapa kategori itu berarak sejauh lebih lima kilometer dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam, Bukit Palah di sini.

Daripada jumlah keseluruhan kontinjen yang mengambil bahagian, 65 merupakan kontinjen agensi kerajaan dan swasta, 47 pertubuhan dan persatuan, lima institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah serta dua sekolah rendah seluruh Melaka.

Terdahulu, kesemua kontinjen perarakan berkumpul di Stadium Hang Tuah kira-kira pukul 7 pagi sebelum majlis ucapan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Idris ketika ditemui pemberita memberitahu, sambutan Maulidur Rasul telah dianggap acara wajib diadakan di negeri ini saban tahun dalam usaha mengingati kelahiran Rasulullah SAW.

Menurutnya, perkara ritual ini mempunyai banyak pengisian di dalamnya termasuklah penganjuran aktiviti berselawat ke atas Nabi Muhammad, bercerita tentang perkara baik dan sebagainya khusus untuk meningkatkan keimaman terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

“Selain itu, turut diadakan pelbagai lagi acara yang selari dengan sambutan Maulidur Rasul termasuk karnival, program motivasi, ceramah dan sebagainya di Pusat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 2015 di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini hari ini.

Yang hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin serta barisan Exco dan Timbalan Exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu Idris berkata, penganjuran program seumpama itu adalah berdasarkan niat ikhlas dan jujur serta bukanlah sesuatu yang bidaah seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Ujar beliau, penganjuran program itu saban tahun mampu menyumbang kepada pembangunan syiar serta agenda meletakkan Islam sebagai agama yang boleh diteladani masyarakat beragama lain.

“Justeru, Melaka akan terus menganjurkan program perarakan Maulidur Rasul setiap tahun kerana kita tidak mempunyai pandangan berbeza seperti pihak lain," katanya.

Di KELANTAN lebih 100 jemaah Masjid Al-Makmuriah dari Taman Makmur dan Taman Cendana, Kubang Kerian, di sini menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini.

Perarakan yang dibuat dalam majlis yang cukup sederhana itu bermula pukul 8 pagi dan melibatkan perjalanan mengelilingi kawasan taman perumahan mereka sejauh kira-kira satu kilometer.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Makmur/Cendana, Dr. Muhamad Sulaiman berkata, program itu julung kali diadakan dan bertujuan mengingati kelahiran Rasulullah.

Katanya, walaupun dibuat secara kecil-kecilan, perarakan itu tetap meninggalkan kesan mendalam kepada peserta yang berpeluang berselawat beramai-ramai.

“Aktiviti ini berjaya mengumpul peserta terdiri pelbagai golongan usia. Ada kanak-kanak, ada remaja, ada orang dewasa serta warga emas.

“Aktiviti ini juga memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai sambutan Maulidur Rasul di samping mendidik mereka menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Menurut Dr. Muhammad, selain berarak, sambutan tersebut turut diisi dengan ceramah khas mengenai kisah hidup serta perjuangan Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam di seluruh dunia.

“Alhamdulillah program berjalan lancar dan Insya-Allah, jika ada rezeki, kami akan mengadakan program sama tahun depan,” katanya.