Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peruntukan itu bertujuan untuk membina semula keseluruhan 27 pondok nelayan bagi memudahkan nelayan di kawasan berkenaan me­nyimpan barangan serta peralatan menangkap ikan.

Menurutnya, walaupun hanya lapan pondok yang terjejas dan rosak teruk, kerajaan negeri mahu kesemua pondok di kawasan pantai itu dibina semula agar seragam dan tersusun berbanding struktur lama yang mungkin sudah tidak selamat untuk digunakan.

“Kita juga telah melantik kontraktor untuk melaksanakan ker­ja pembinaan kesemua pondok nelayan tersebut dan ia dijangka dapat disiapkan sebelum penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Penyerahan Sumbangan Bencana Ribut di Pantai Tanjung Kling, Kampung Gelam, di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Jelas Idris, selain sumbangan itu, kerajaan negeri turut me­nyalurkan bantuan ringan kepada lapan nelayan yang terjejas akibat ribut yang berlaku di kawasan tersebut pada Ogos lalu.

“Secara keseluruhannya, ke­rajaan negeri telah menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 juta termasuk pembinaan jeti nelayan berharga lebih RM700,000 yang telah siap serta kemudahan-kemudahan lain khusus untuk golongan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu tambahnya, keprihatinan kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan kepada golongan nelayan adalah bukti Barisan Nasional (BN) be­kerja untuk rakyat.

“Inilah kerja kerajaan BN, kita tidak hasut rakyat, tidak memfitnah dan bohongi rakyat tetapi kita buat apa yang boleh demi untuk memberi kesenangan kepada rakyat di pelbagai peringkat,” katanya.