KERK CHEE YEE
KERK CHEE YEE 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menjangkakan masalah banjir di Kampung Sungai Putat dan Taman Seri Jati serta kawasan sekelilingnya bakal diselesaikan seawal Mei 2019.

“Peruntukan yang ada itu akan digunakan bagi menaik taraf longkang dari Public Bank di Melaka baru sehingga ke sungai berdekatan kerana didapati sistem perparitan di kawasan itu menjadi punca berlakunya banjir walaupun hujan sederhana lebat.

“Tiga langkah akan diambil iaitu kerja-kerja menggantikan longkang konkrit, menggantikan pembentung kekotak dan memasang ‘flood gate’ untuk mengawal paras air,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

Yang turut hadir, Pengarah JKR negeri, Ir. Zulkifly A. Ghani dan Jurutera Daerah JKR Daerah Melaka Tengah, Ir. Ismail Abd. Rahman.

Sementara itu, Chee Yee turut memberitahu, kerja-kerja memasang set rumah pam juga akan dibina dan diselenggarakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Tengah di kawasan berkenaan.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk di kawasan sekitar taman dan kampung berkenaan. Pada masa sama, pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan terus membersihkan kawasan berkenaan dengan kekerapan dua kali sebulan atau mengikut keadaan cuaca.

“Bagi masalah sampah yang banyak didapati dalam longkang, kita akan membuat program kesedaran selain bergotong-royong bagi memastikan penduduk tidak buang sampah merata tempat,” katanya. - UTUSAN ONLINE