Datuk Abd. Jalil Hassan
Datuk Abd. Jalil Hassan

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, kes tertinggi yang dilaporkan kepada polis membabitkan penipuan barangan gajet elektronik seperti telefon pintar, komputer riba dan notebook.

Menurutnya, jumlah kes penipuan tersebut juga meningkat secara mendadak berbanding hanya 11 kes dilaporkan sepanjang 2016 dengan nilai kerugian sebanyak RM34,000.

"Hasil penelitian terhadap laporan polis yang dibuat mangsa penipuan barangan dalam talian tersebut mendapati sebahagian besar daripada mereka adalah golongan remaja termasuk pelajar," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Baderul Hisham Baharudin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Zulkifli Rasid.

Jelas Abd. Jalil, mengikut modus operandi kes, suspek mengiklankan barangan mereka di dalam laman sesawang dengan harga tiga kali lebih rendah berbanding harga pasaran bagi menarik minat serta mengumpan mangsa.

Katanya, setelah mangsa bersetuju dengan harga tersebut, suspek meminta agar memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga sebelum memberikan nombor rujukan penghantaran barang bagi meyakinkan pelanggan barangan tersebut telah dihantar.

"Mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas barangan yang dipesan tidak diterima dan semakan nombor rujukan penghantaran barang tersebut juga adalah palsu," ujarnya.

Tambah beliau lagi, mangsa-mangsa yang merasa diri mereka telah ditipu kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan menyemak dahulu kesasihan sesuatu iklan sebelum membuat pembelian bagi mengelak daripada mengjadi mangsa penipuan," katanya.-UTUSAN ONLINE