Adly Zahari
ADLY ZAHARI

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah itu disifatkan terlalu tinggi dan berdasarkaan kedudukan kewangan kerajaan negeri, pihaknya hanya dapat memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi melaksanakan pelan jangka pendek dalam usaha menyelesaikan masalah banjir kilat di seluruh negeri itu.

Beliau berkata, pelan berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perairan dan perparitan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti dan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

"Daripada jumlah peruntukan RM2.8 juta itu, sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan untuk daerah Melaka Tengah manakala sejumlah RM520,000 bagi Alor Gajah dan RM810,000 untuk daerah Jasin.

"Menerusi peruntukan ini, kita akan naik taraf sistem saliran yang sedia ada supaya untuk jangka masa pendek ia akan dapat menyelesaikan masalah namun berikutan peruntukan yang terhad, kita beri keutamaan kepada lokasi yang sering berlaku masalah banjir kilat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Ne­geri di sini.

Mengulas lanjut, Adly berkata sebagai contoh, beberapa lokasi sering berlaku banjir kilat telah dikenal pasti antaranya di Kampung Chetti dan Kampung Tun Razak bagi daerah Melaka Tengah manakala kawasan Kilang Berapi dalam daerah Jasin turut berdepan masalah yang sama.

Katanya, bagi jangka masa panjang iaitu projek tebatan banjir, kerajaan negeri masih menunggu peruntukan iaitu RM280 juta yang pernah diumumkan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun memberitahu, kerajaan negeri tetap memberi jaminan masalah banjir kilat di negeri itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun ini.