Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, projek dengan usahasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan syarikat Mrails International Sdn. Bhd. itu menaik taraf bangunan sedia ada dan bakal dikenali dengan Pulau Upeh Wellness Resort & Spa.

Beliau berkata, Pulau Upeh yang terletak berhampiran Pantai Klebang dengan keluasan 2.6 hektar dilihat berpotensi menjadi The Pearl of Straits of Melaka apabila pembangunan besar dalam radius 10 kilometer se­perti Melaka Gateway dan Melaka Impression siap sepenuhnya.

“Projek ini dijangka disiapkan dalam tempoh 18 bulan dengan membaik pulih dan menaik taraf sebanyak 39 unit calet sedia ada di samping menerapkan unsur-unsur seni bina masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Turut dibina dalam projek ini adalah santuari penyu karah berikutan Pulau Upeh ini merupakan pulau tunggal di Malaysia bagi spe­sies penyu karah mendarat dan mencatatkan seba­nyak 36 pendaratan penyu dengan kutipan 4,515 biji telur,” katanya dalam majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Pulau Upeh oleh CMI dan Mrails International Sdn. Bhd. di sini.

Yang turut hadir, Presiden Mrails International Sdn. Bhd., Datuk Muhammad JK Noah Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong dan Pengurus Besar CMI, Datuk Ab. Rahman Ismail.

Idris berkata, Pulau Upeh berpotensi dibangunkan semula sebagai produk pelancongan kerana kedudukan strategik yang sesuai dijadikan tempat riadah dan rekreasi di samping menjadi syurga kepada pencinta alam flora dan fauna.

“Pembangunan semula itu juga dilihat mampu meningkatkan statistik pelancong di Melaka sekali gus menyumbang kepada kenaikan pendapatan negeri serta penduduk setempat selain menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu Muhammad JK Noah berkata, pihaknya juga merancang untuk menambah nilai pembangunan di pulau berkenaan dengan penggunaan teknologi solar terapung selaras dengan misi kerajaan negeri Me­laka Bandar Teknologi Hijau.