Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, nilai murni itulah yang perlu diperkukuh dalam jiwa masing-masing bagi membantu negara mewujudkan perpaduan serta keharmonian sesama masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Jika ada pihak yang masih berusaha untuk cuba memecahbelahkan perpaduan dan persefahaman rakyat Malaysia yang pelbagai kaum serta agama ini, marilah kita tunjukkan kepada mereka bahawa kita bukanlah negara bangsa yang boleh diperlekehkan.

“Marilah sama-sama kita terus menggembleng dan mencelikkan sejarah bangsa kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya kerana bangsa yang maju dan berjaya adalah bangsa menghargai sejarah,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut Idris, anak-anak muda adalah bunga-bunga bangsa yang perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jati diri serta diperteguhkan bersama semangat patriotisme supaya negara dan rakyat berjiwa besar serta kekal berdaulat.

Sementara itu katanya, rakyat perlu mensyukuri kemerdekaan negara kerana nikmat yang sudah menjangkau lebih separuh abad ini membolehkan masyarakat hidup aman makmur dan dapat melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan.

“Berkat kemer­dekaan juga kita bebas bersuara, berpersatuan dan memilih pe­mimpin untuk menerajui pemerintahan negara. Pendek kata, kemerdekaan memberi kita seribu satu macam nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada para patriot negara yang berkorban dan berbakti menjalankan tanggungjawab me­ngawal ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya.