Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, rancangan tebatan banjir yang ketika ini di peringkat menyiapkan kertas kerja itu melibatkan empat kawasan iaitu Sungai Duyong, bandar Jasin, Merlimau dan Alor Gajah dengan kos sebanyak RM289 juta.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk membaik pulih semula hab perikanan di Muara Sungai Duyong yang memerlukan penambahbaikan melibatkan kos sebanyak kira-kira RM63 juta antaranya bagi membolehkan bot-bot nelayan keluar masuk di kawasan tersebut serta kawalan keluar masuk aliran air.

“Kesemua projek rancangan tebatan banjir melibatkan parit, saliran dan perikanan itu sudah bermula di mana kertas kerjanya sedang disiapkan dan dijangka tender untuk projek akan mula dibuka pada Mac tahun depan.

“Projek tersebut melibatkan rancangan jangka pendek dan jangka panjang selama lima tahun di mana ia dijangka dapat mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di negeri ini sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Hotel Ramada Plaza di sini hari ini.

Menurut Idris, projek-projek tebatan banjir itu melibatkan empat kawasan dilaksanakan setelah kerajaan negeri mengambil kira pandangan penduduk setempat bagi memastikan ianya tidak menemui kegagalan.

Tambah beliau, pihaknya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memainkan peranan terlibat dalam semua projek tersebut dan pada masa yang sama semua pembangunan termasuk pemilihan perunding dan kontraktor diberi keutamaan kepada orang tempatan.

“Kita tidak mahu masalah yang sama berlaku apabila melantik kontraktor luar di mana mereka tidak faham situasi pembangunan di negeri ini sebagai contoh kolam takungan di Kampung Chetty dan rumah pam di Sungai Klebang tenggelam akibat dilanda banjir,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE