Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerja-kerja naik taraf fasa kedua itu dijangka akan dimulakan sebaik sahaja ibu pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyerahkan kuasa pengambilalihan kepada kerajaan negeri.

Selain itu menurut beliau, kerajaan negeri akan memulakan usaha itu selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes salah guna kuasa membabitkan pengurusan Perbadanan Pembangunan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) selesai.

“Untuk itu kita harap JPS dan SPRM dapat menyegerakan proses tersebut agar kita dapat bangunkan Sungai Melaka fasa kedua kerana semua rakyat Melaka tidak sabar untuk melihat ia dimajukan.

“Pembangunan Sungai Melaka fasa kedua ini bukan sahaja dapat memulihkan imej dan kebersihan sungai malah dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya.

Muhammad Jailani (PH-Rembia) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang bertanyakan bila kerja-kerja penambahbaikan Sungai Melaka akan mula dilaksanakan.

Pesisiran Sungai Melaka merupakan antara lokasi pelancongan utama di negeri ini melibatkan fasa pertama iaitu laluan pejalan kaki sepanjang 4.5 kilometer manakala pembangunan Sungai Melaka fasa kedua melibatkan jarak penambahbaikan sejauh 5 kilometer.

Projek naik taraf pembangunan atau pemanjangan fasa Sungai Melaka tidak dapat dilaksanakan walaupun perancangannnya sebelum ini pernah diumumkan oleh kerajaan negeri terdahulu.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata, antara pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan Sungai Melaka apabila ia dimulakan kelak adalah mewujudkan Bandar Warisan Melayu di kawasan pesisiran sungai tersebut.

“Pelaksanaan projek pembangunan fasa kedua ini akan dibuat menerusi kerjasama pintar dengan agensi-agensi swasta, namun jika perlu dibuka tender kita akan buka.

“Bagaimanapun tergendalanya perancangan pembangunan fasa kedua Sungai Melaka ini tidak merencatkan kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 kerana fasa ini tidak dimasukkan TMM sebaliknya akan dimasukkan dalam perancangan Tahun Melawat Malaysia 2020,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE