Pengarah FAMA Melaka, Che Samudin Hassan berkata, empat rangkaian outlet FAMA itu termasuk 29 pasar tani, empat Agrobazaar Kedai Rakyat, 17 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia dan 50 kali di program My Best Buy.

Menurutnya, usaha berkenaan selaras dengan usaha kerajaan untuk menangani kenaikan harga beberapa jenis barang keperluan selain membantu pengguna berjimat.

“Sebanyak 27 barangan keper­luan seperti ayam, ikan, sayur dan buah-buahan dapat dijimatkan sehingga 20 peratus berban­ding harga pasaran melalui program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program JBD di Pasar Tani Selandar dekat sini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan serta dihadiri lebih 2,000 pengunjung.

Jelas Che Samudin, program berjimat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mac lepas akan terus dilaksanakan pihaknya bagi memberi faedah berterusan serta penjimatan kepada pengguna.

“Secara keseluruhan, program JBD ini akan dilaksanakan di 1,256 lokasi di seluruh negara termasuk pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat 1Malaysia, My Farm Outlet dan My Best Buy sepanjang tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Ghafaar memberitahu, program berjimat yang dianjurkan itu bukan diadakan secara bermusim sebaliknya berterusan bagi membantu me­ngurangkan kos sara hidup rak­yat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Program JBD ini juga tepat pada masanya dan berupaya memberi kesan positif dalam mengurangkan perbelanjaan khusus­nya untuk memberi barangan keperluan harian,” katanya.