Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Abd. Talib Banchek berkata, bantuan SAMB Prihatin pada tahun ini membabitkan tiga projek iaitu membaiki bumbung dan siling Surau Khairiah, Kampung Pinang dengan kos seba­nyak RM20,000; membaiki rumah penduduk sebanyak RM3,100 dan membina pondok di tanah perkuburan bernilai RM600.

Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat memberi keselesaan dan meri­ngankan beban penduduk kurang berkemampuan untuk membaiki rumah.

“Program ini telah diperkenalkan di negeri ini sejak tahun 2013 untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Bantuan dibuat hasil laporan yang diperolehi daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan input daripada media massa,” katanya ketika berucap dalam program SAMB Prihatin baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Yang turut hadir Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amirudin Yusof dan ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Jelas Abd. Talib, SAMB Prihatin turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk sumbangan 20 meter kiub air percuma bernilai RM12 setiap bulan, pemasangan paip baharu dan pemasa­ngan meter air percuma.

"Bagaimanapun, bantuan ini hanya diberikan kepada mereka benar-benar layak berdasarkan maklumat JKKK di kawasan masing-masing,” jelas beliau.

Tambahnya, SAMB komited untuk terus melaksanakan program itu pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan menikmati faedahnya.