Program yang bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat raja buah itu termasuk pelancong yang dibawa oleh pengusaha bas ke hotel berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi PMH, Siti Ainshah Osman berkata, pihaknya menyediakan dua tan buah durian yang didatangkan khas dari ladang milik syarikat itu di Ayer Molek untuk disediakan kepada pengunjung pada sebelah pagi manakala baki lima tan lagi disediakan pada sebelah petang sehingga bekalan itu selesai dihidangkan.

“Ini merupakan program pertama kali diadakan oleh PMH dan kita menjadikan Hotel MITC sebagai lokasi untuk penggemar durian dan buah-buahan tempatan seperti rambutan dan manggis untuk makan sepuas-puas hati.

“Bayaran yang dikenakan amat berpatutan iaitu hanya RM29 untuk dewasa dan RM19 untuk kanak-kanak di mana pengunjung boleh menikmati keenakan durian jenis IOI, udang merah, Sim Guan dan D24,” katanya ketika ditemui pada program itu sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminathan dan Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri.

Menurut Siti Ainshah, PMH memiliki ladang durian seluas enam hektar di Ayer Molek dan ladang itu juga dibuka kepada pengunjung yang ingin menikmati sendiri buah-buahan tersebut. - UTUSAN ONLINE