Tanglung juga berfungsi sebagai lampu sebelum adanya kuasa elektrik yang diletakkan dalam sejenis bekas untuk melindungi lilin daripada ditiup angin.

Mengikut kepercayaan mereka, menggantung tanglung di kawasan rumah mampu memberi tuah atau kehidupan yang lebih baik di sam­ping memeriahkan suasana.

Bagi masyarakat Cina, Pesta Tang­lung turut diraikan oleh mereka yang turut dikenali sebagai Mid-Autumn Festival yang disambut pada hari ke-15 dalam bulan kelapan kalendar Lunar ketika bulan mengambang.

Menyingkap sejarah pesta tang­lung ini, ia dipercayai berusia lebih 2,000 tahun dengan terdapat pelbagai legenda dan mitos mengenai asal-usul sambutannya yang menjadi sebahagian daripada kebudayaan masyarakat Cina sejak turun temurun.

Baru-baru ini, lebih 600 pe­ngunjung memeriahkan Sambutan Hari Muhibah Pesta Tanglung anjuran Persatuan Buddhist Malaysia Cawangan Merlimau dan Jasin di Gelanggang Futsal Merlimau Pasir di sini.

Program itu bertujuan memperkenalkan keunikan budaya ma­syarakat di negara ini yang majmuk kepada penduduk di kawasan itu di samping mengeratkan hubung­an kekeluargaan yang sedia terjalin.

Melalui acara itu ia dilihat dapat menyuburkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di kawasan kejiranan taman perumahan itu yang turut mendapat penyertaan pelbagai masyarakat lapisan umur.

Lebih manis, pesta turut dimeriahkan oleh masyarakat Melayu dan India sekali gus menonjolkan keunikan sambutan pada malam berkenaan yang menterjemahkan semangat muhibah rakyat Malaysia yang bersatupadu dan saling hormat menghormati.

Sebanyak 300 tanglung yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan rupa dibawa para peserta dan berarak sejauh 500 meter sempena program yang turut mendapat kerjasama daripada pemimpin tem­patan.

Pengerusi Majlis Sambutan Hari Muhibah Pesta Tanglung, Choo Chin Chye berkata, program itu sebagai usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk dan sambutan yang diterima pada malam berkenaan di luar jangkaan.

Menurutnya, Pesta Tanglung itu merupakan suatu perayaan adat kaum Cina, dan ia tiada kaitan de­ngan unsur-unsur keagamaan dan merupakan budaya masyarakat itu sejak zaman berzaman.

Katanya, pesta tanglung adalah satu perayaan yang disambut masyarakat Cina yang membawa maksud mengharapkan kehidupan yang baik.

“Untuk sambutan ini kita menjemput bangsa lain juga untuk sertai kita dan kita dapati sambutan yang diterima sangat baik daripada bangsa melayu dan india.

“Perayaan budaya (festival) ini tiada kaitan dengan sebarang unsur-unsur keagamaan, ia secara tidak langsung membawa mesej yang unik iaitu masyarakat Melayu, India dan Cina boleh hidup secara harmoni dan aman tanpa persengke­taan,” katanya ketika ditemui pada sambutan itu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad.

Chin Chye berkata, pihaknya turut menghargai penglibatan semua kaum yang turut sama berarak sekitar Taman Merlimau berkenaan dengan membawa tanglung yang disediakan dengan membawa mesej perpaduan.

“Kita berasa sangat gembira kerana dapat melihat peserta dari ketiga-tiga kaum bersama-sama berarak membawa tanglung masing-masing tanpa sebarang masalah.

“Malahan, tanglung yang kami sediakan juga juga tidak mencukupi untuk diedarkan kepada pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur,” katanya.

Tambahnya, sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat menunjukkan keharmonian dan perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat setempat dan merancang untuk meneruskan sam­butan itu pada tahun hadapan de­ngan pengisian lebih menarik.