Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin memberitahu, tiada sebarang bayaran dikenakan buat masa ini, namun mereka yang ingin memberikan derma ikhlas dialu-alukan bagi penambahbaikan dan penyelenggaraan galeri tersebut.

“Saya telah mengambil inisiatif untuk membesarkan lagi galeri ini dengan kerjasama pihak Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) kerana banyak barang artifak perlu disimpan dan dipamerkan untuk tatapan pengunjung.

“Sasaran pengunjung pula adalah semua lapisan masyarakat terutama pelajar sekolah, mereka yang berminat untuk mempelajari sejarah Melayu dan pastinya pelancong luar negara yang datang ke sini,” katanya selepas majlis perasmian galeri tersebut di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Tanah, Pe­rancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan ne-geri, Datuk Norpipah Abdol dan Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Galeri Warisan me­rupakan sebuah ga­leri yang menyimpan lebih daripada 200 artifak, manuskrip dan lain-lain bahan sejarah berkaitan dengan orang Melayu.

Sementara itu, Norpipah ber­kata, kesemua bahan yang dipamerkan itu bakal mengingatkan orang ramai berhubung peralatan-peralatan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat setempat pada suatu masa dahulu.

“Dahulu, ketika mesin padi belum ditemui, lesung digunakan untuk menghasilkan pes cili sebagai bahan utama bagi menyediakan juadah asam pedas.

Sa­yangnya, batu giling yang dahulunya penting, kini hanya disimpan di dalam stor atau mungkin telah tiada,” katanya ketika membacakan teks ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Dalam pada itu, menurutnya, galeri itu juga berpotensi men­jadi daya tarikan pe­lancong terutama da­lam kalangan pe­lajar dalam dan luar negara selaras dengan objektifnya sebagai produk Edu-Tou­rism.

“Galeri ini juga di-lihat boleh menjadi tumpuan pelancong disebabkan keaslian serta keunikan artifak-artifak lama yang sukar ditemui, malah telah pupus.

“Saya berharap matlamat utama ga­leri sebagai pro­duk Edu-Tourism mampu me­nyerlahkan Kampung Duyong di mata para pelancong, sekali gus menaikkan nama Me­laka sebagai pusat pelancongan sejarah dan warisan utama di negara,” ujarnya.

Galeri yang beroperasi sejak Januari lalu itu dibuka pada setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.