Veronica de Souza, 57, tidak dapat menahan perasaan gembira dan terharu apabila dia antara yang dikunjungi rombongan diketuai Choo Ah Kow bersama 10 ahli lembaga pelawat yang turut menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada pesakit di wad A1 hospital itu.

Wanita keturunan Portugis itu yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam selama 11 tahun, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap dua pada Oktober lalu namun kanser tersebut semakin aktif dan me­ningkat sehingga ke tahap empat.

“Saya terharu apabila dikunjungi kumpulan ahli lembaga pelawat dan mereka memberi semangat untuk terus melawan penyakit itu. Saya berharap agar dapat kembali sihat dan melihat anak saya mendirikan rumah tangga,” kata ibu kepada empat orang anak ber­usia antara 19 hingga 25 tahun itu.

Veronica yang dimasukkan ke hospital sejak 30 November lalu, adalah antara 38 pesakit di Wad A1 Hospital Melaka yang dikunjungi pada majlis Sesama Sa­yang anjuran bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Melaka dan pengurusan hospital di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha ahli lembaga pelawat, Datuk Akrammudin Abd. Aziz; ahli-ahli lembaga pelawat dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Melaka, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi.

Menurut Veronica, sejak dimasukkan ke wad itu, dia dite­mani suami, Henry Maximiloan Gomes, 57, dan empat anaknya yang bergilir-gilir menjaganya.

“Sambutan Krismas lalu bagi saya meriah walaupun terpaksa menyambutnya di hospital. Saya gembira semua ahli keluarga ber­ada di sisi,” kata wanita itu.

Sementara itu, Akrammudin memberitahu, ini merupakan lawatan kedua Ahli Lembaga Pelawat Hospital Melaka yang dilantik bagi sesi 2014 hingga 2016 yang akan berakhir pada 31 Ogos ini.

“Sebagai ahli yang dilantik oleh Menteri Kesihatan, kami sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak pengurusan hospital untuk sama-sama memastikan kebajikan pesakit yang ditempatkan di hospital ini sentiasa terbela.

“Pihak kami juga berbesar hati kerana syarikat Koko Minda Sdn. Bhd. dan Car Jen Sdn. Bhd. bersetuju menaja sumbangan dan bantuan untuk empat sesi lawatan ke hospital ini sepanjang tahun 2017,” katanya.

Antara sumbangan yang dihulurkan pada lawatan itu adalah makanan dan wang tunai kepada pesakit, peti sejuk kepada sebuah wad, 50 buah kerusi sumbangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan dua buah kipas siling.