SITI ROPIAH ISHAK dibantu ibunya, Soniah Omar pada program Ziarah Kasih Ketua Menteri Melaka ke DUN Sungai Udang, Melaka baru-baru ini.

Keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan kesihatan secara berterusan.

Dalam keadaan tahap kesihatan yang semakin merosot, dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa sudah kehila­ngan ke­upayaan untuk berjalan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

“Berita mengenai penyakit buah pinggang ini sangat mengejutkan saya. Apatah lagi dalam keadaan serba kekurangan selepas kaki saya dipotong

“Apa yang saya harapkan ketika ini adalah sedikit bantuan kewangan, kerusi roda dan tandas mudah alih untuk kegunaan harian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Parujas, Sungai Udang dekat sini.

Terdahulu, Siti Ropiah dikunjungi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dalam program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Sementara itu, Siti Ropiah terpaksa bergantung kepada ihsan ibu dan adik-beradik untuk menjaga dirinya serta membawa dia ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Menurutnya, dia terpaksa menangguh rawatan dialisis bagi merawat penyakit buah pinggang yang dihadapinya ekoran masalah kewangan kerana sudah tidak lagi bekerja.

Tambahnya, kini dia bergantung kepada Pencen Ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM450 sebulan sedangkan kos rawatan mence­cah RM3,000 termasuk rawatan penglihatan.

Dalam pada itu, Idris membe­ritahu, program itu membuktikan kerajaan negeri serta Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil berat terhadap masalah rakyat .

“Maka, apabila ada pihak yang mengatakan lawatan ini diadakan kerana Pilihan Raya Umum (PRU) sudah dekat, dakwaan itu tidak berasas kerana program seperti ini sudah dilakukan sejak dari dahulu lagi,” katanya.