Di Melaka, kesempatan cuti sempena awal Ramadan pada 17 Mei lalu digunakan oleh orang ramai bukan sahaja dari negeri ini malah kawasan berhampiran se­perti Negeri Sembilan dan Muar, Johor untuk membeli barangan keperluan di kedai-kedai yang menjual kelengkapan menyambut Aidilfitri.

Meskipun baru menyambut bulan puasa, semangat orang ramai untuk mencari barang keperluan perlu dilakukan bagi mengelak kesibukan pada saat-saat akhir.

Tinjauan Utusan Kota di beberapa buah kedai menjual kain di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada hari kedua Ramadan baru-baru ini mendapati gedung membeli-belah menjual pelbagai jenis kain dan langsir menawarkan pelbagai potongan harga kepada pengguna.

Antara yang menjadi tum­puan adalah Kedai Kain Bunga Raya Tangkak Sdn. Bhd. yang merupakan cawangan kedai kain terkenal di Johor Utara dan sudah bero­perasi di MITC sejak 10 tahun lalu.

Menurut pengurus kedai itu, Tiew Ai Ti, 29, kehadiran pengunjung ke kedai itu biasanya sesak pada setiap hujung minggu sepanjang Ramadan.

“Kami menjual pelbagai jenis kain ela dan langsir untuk pilihan pembeli. Pada awalnya, kami menerima tempahan pelanggan yang mahukan reka bentuk langsir ke­gemaran mereka tetapi sejak bulan puasa kami hanya me­nerima tempahan berdasarkan reka bentuk asas,” katanya.

Menurutnya lagi, kain langsir tema eyelet kini semakin mendapat permintaan dengan kadar upah RM10 untuk sekaki kain.

Harga ‘kain ela’ juga ditawarkan mengikut jenis kain dan kua­liti material yang dihasilkan dan tidak hairan, premis berkenaan sering menjadi pilihan orang ramai selain kedudukannya yang terletak di lokasi strategik.