Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, perpustakaan merupakan satu tempat yang paling sesuai, khususnya bagi mereka yang ingin menghabiskan masa untuk membaca, membuat rujukan dan juga melayari internet.


“Kewujudan perpustakaan di setiap ceruk di seluruh negeri Melaka termasuk perpustakaan desa yang bakal dibina di Asahan, Alor Gajah ini amat bertepatan dan menjadi satu lagi kemudahan yang disediakan untuk masyarakat.


“Kejayaan sesebuah perpustakaan tidak lagi diukur dari segi keindahan bangunan atau kelengkapannya, tetapi kemanfaatannya kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Perpustakaan Desa Asahan dan Perasmian Galeri Idris Haron bersebelahan Masjid Tun Khalil Asahan, dekat sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan. - UTUSAN ONLINE