Pengarahnya, Abu Bakar Sahari berkata, menerusi program dengan kerjasama Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) itu, ia merupakan satu perkhidmatan pendidikan yang dibentuk bagi memenuhi keperluan murid berkeperluan khas.

Menurut beliau, program te-rapi pergerakan kreatif itu me-latih murid istimewa membina keyakinan diri dan komunikasi berkesan, merangsang daya kognitif dan imaginasi serta membentuk interaksi sosial dengan masyarakat.

"Program terapi pergerakan kreatif ini akan dilaksanakan di semua sekolah melibatkan kira-kira 3,700 murid berkeperluan khas di 172 buah sekolah seluruh Melaka .

"Melalui cara ini, mereka berupaya menggunakan seluruh panca indera untuk meneroka persekitaran, selain memperolehi pengalaman dan pembelajaran dalam suasana yang lebih me­nyeronokkan bagi membina keyakinan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, Tanjung Kling di sini.

Program itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sukan dan Antidadah negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengerusi Ismma, Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Abu Bakar berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dalam program terapi itu berbeza dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional yang berfokus kepada teori dalam bilik darjah.