Pengerusi Jawatankuasa Wa­nita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, pihaknya yakin usaha membantu usahawan wanita termasuk ibu-ibu tunggal akan berhasil sebagaimana kejayaan memasarkan produk jualan di Bazar Wanita yang pertama diwujudkan di Melaka Mall pada penghujung tahun lalu.

Katanya, kerjasama itu hasil usaha kerajaan negeri bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka (PPWNM) yang membuka satu lot perniagaan seluas kirakira 278 meter persegi yang mampu memuatkan 30 tapak perniagaan kepada kaum wanita termasuk ibu tunggal.

“Sejak empat bulan beroperasi dengan kebenaran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), hasil jualan di Bazar Wanita yang diwujudkan itu mampu mencatat peningkatan iaitu de­ngan hanya RM20,000 sebulan kepada RM180,000 sebulan dan ini merupakan satu kejayaan kepada semua peniaga terlibat.

“Untuk itu kerajaan negeri menerusi PPWNM akan ber­usaha memperluaskan konsep Ba­zar Wanita ini ke beberapa pusat beli-belah lain di Melaka dan kami harap mendapat sokongan daripada usahawan dan pengurusan pusat beli-belah dengan me­ngenakan kadar sewa yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Memperkasa Ibu Tunggal anjuran Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka dan PPWNM di Hotel Mudzaffar Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk MS Mahadevan; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Roslan Ahmad; Presiden Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka, Datuk Jahaya Mat; Naib Presiden Majlis tersebut, Datuk Dr. Ahmad Zaini Mohd. Amin dan Pengarah PPWNM, Faizah Abdul Rahman.

Menurut Latipah, ketika ini sebanyak 24 daripada 30 tapak perniagaan di Bazar Wanita Melaka Mall sudah diisi dan beliau turut menyeru mana-mana usahawan wanita khususnya golongan ibu tunggal yang ingin memasarkan produk jualan supaya menghubungi PPWNM.

Sementara itu, Jahaya berkata, program yang julung kali dianjurkan majlis itu adalah bagi membantu golongan ibu tunggal khususnya di Melaka yang kini berjumlah lebih 28,000 orang.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 4,725 ibu tunggal berdaftar dengan portal My Wanita di bawah PPWNM dan jumlah tersebut dianggap masih kurang dalam usaha pihaknya membantu mereka.

“Perancangan majlis ini sele­pas ini adalah mewujudkan pangkalan data bagi mengumpul semua maklumat ibu-ibu tunggal di Melaka lengkap dengan kategori usia, pekerjaan, taraf pendidikan dan pekerjaan mereka bagi memudahkan pihak kami membantu mereka pada masa akan datang.

“Program hari ini adalah permulaan di mana majlis yang terdiri daripada pelbagai kategori profesion mempunyai jaringan yang luas untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai kepada ibu tunggal termasuk dalam bidang perkhidmatan rumah seperti pembantu rumah, urutan tradisional sehinggalah peluang kerja sebagai pembantu di hotel-hotel di negeri ini,” katanya.