Reptilia sepanjang 3.4 meter itu sebelum ini disedari muncul di empangan tersebut sejak 14 Disember lalu oleh penduduk yang kemudian segera memaklumkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perhilitan negeri, Noorzakiahanum Mohd. Noh berkata, pihaknya dengan kerjasama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) membuat pemantauan di empangan sejak Jumaat lalu sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kewujudan buaya itu.

“Antara usaha dilakukan adalah mengeringkan kolam tadahan di empangan tersebut dengan menggunakan pam. Kerja-kerja menangkap dimulakan sejak Isnin minggu lalu dengan bantuan BKSA, SAMB, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba. Tangkapan berjaya dibuat kira-kira pukul 5 petang semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seorang kakitangan SAMB, Mohd. Sham Hussin, 34, memberitahu, dia percaya buaya tersebut ‘tersesat’ dari kawasan Machap dan telah masuk ke kawasan aliran empangan di Durian Tunggal.

“Saya rasa mungkin buaya itu datang ke empangan selepas makanan di kawasan Machap telah habis atau mungkin haiwan itu diganggu penduduk.

“Kita mungkin boleh lepaskan buaya itu tetapi nanti dia akan pergi ke Sungai Melaka dan bimbang akan mengganggu penduduk di sana,” katanya yang bertugas di empangan itu.

Reptilia berkenaan berjaya ditangkap dalam kawasan lumpur oleh Perhilitan dan difahamkan ia kini dibawa ke Paya Indah Wetland, Selangor. - UTUSAN ONLINE