Pengarahnya, Johari Tim berkata, pelbagai usaha sedang dan akan dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama erat agensi berkaitan ke arah itu termasuk memperbanyakkan stok ikan air tawar di sungai-sungai negeri ini.

Menurutnya, sektor perikanan di Melaka berbeza dengan ne­geri lain kerana ketiadaan sektor nelayan darat disebabkan hasil tangkapan ikan air tawar yang sangat rendah di negeri ini.

“Usaha untuk mempergiatkan aktiviti nelayan darat di Melaka sememangnya menjadi salah satu agenda utama jabatan ke arah meningkatkan hasil tangkapan dan ekonomi penduduk.

“Sehubungan itu, Jabatan Perikanan negeri merancang untuk merangka Pelan Pembangunan Perikanan Melaka menjelang hujung tahun depan bagi memastikan usaha tersebut dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Pelepasan Benih Ikan Lampam Sungai dan Baung ke Sungai Chohong sempena Pra Gelombang Nelayan Nasional 2017 peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Jasin, Mohd. Isa Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK) Kampung Chohong, Abdul Razak Esa.

Johari berkata, hasil tangkapan ikan air tawar di negeri ini dianggarkan hanya 2.4 tan sepanjang 2015 dan jumlah itu menurun ke­tara berbanding 10 tahun lalu di­sebabkan beberapa faktor termasuk ketidakstabilan ekosistem.

“Justeru, dengan adanya pelan pembangunan itu kelak, mudah bagi kami untuk melaksanakan usaha berterusan membangunkan industri perikanan negeri selaras dengan apa yang berlaku di Melaka.

“Bagaimanapun, kita masih belum boleh menetapkan sasaran input yang bakal diperolehi kerana perlu melihat dahulu peningkatan hasil dari tahun ke tahun seterusnya jumlah yang disasarkan,” katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, sebanyak 30,000 benih lampam sungai dan 20,000 benih baung dilepaskan di perairan Sungai Chohong bagi meningkatkan jumlah ikan di sungai tersebut.

“Kita mahu masyarakat peka dengan usaha ini dan bersama-sama menjaga kebersihan sungai agar tidak dicemari selain tidak melepaskan ikan pemangsa seperti keli Afrika yang mampu menggugat ekosistem sungai tersebut,” tambahnya.