Mangsa, Zakaria Ayob, 62, berkata, rakannya yang juga pesara tentera itu telah menggunakan namanya bagi urusan membeli sebuah kereta Perodua Viva untuk anak tirinya pada Mac 2008.

Menurutnya, namun bayaran bulanan kereta itu tertunggak selama 24 bulan menyebabkannya dibebani hutang lebih RM11,000.

"Saya bersetuju untuk membenarkan nama saya digunakan untuk pinjaman pembelian kereta itu atas dasar sahabat dan kasihan. Rakan saya memberitahu bahawa dia sudah tidak boleh membuat sebarang pinjaman bank kerana telah disenarai hitam.

"Walaupun dia ada menawarkan sejumlah wang sebagai upah namun saya menolak kerana ikhlas membantu tetapi tidak sangka dia sanggup memperlakukan saya sebegini," katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Ayer Keroh, di sini semalam.

Zakaria berkata, dia mengenali rakannya itu kerana pernah sama-sama berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Miri, Sarawak tidak lama dahulu.

Katanya, usaha menghubungi rakannya itu gagal, malah ketika ditemui pelbagai alasan diberikan.

Kata Zakaria, akibat buntu dengan masalah yang dialami, dia terpaksa memohon bantuan daripada Pembela BN selain membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, rakan karib pesara tersebut perlu tampil untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Katanya, sekiranya tiada sebarang jalan penyelesaian, Pembela BN akan menyediakan peguam untuk mengendalikan kes tersebut.