Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Husin berkata, arahan itu akan mula berkuat kuasa mulai 15 Ogos sehingga 16 September depan dan surat arahan pemasa­ngan itu telah diedarkan kepada kira-kira 130,000 pemilik premis perniagaan dalam kawasan MBMB bermula 27 Julai lalu.

Beliau berkata, arahan itu juga disyaratkan di dalam lesen perniagaan para peniaga dan sesiapa yang ingkar boleh diambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Perniagaan MBMB 2010 yang memperuntukkan denda sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan.

“Semua premis perniagaan di kawasan pentadbiran MBMB diwajibkan memasang Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

“MBMB akan mengadakan pemantauan di semua premis bagi memastikan peniaga memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang sebelum tarikh mula penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat MBMB di Ayer Keroh di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Keraja­an Tempatan, Kesejahteraan Ban­dar Dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman.

MBMB merupakan jabatan dan agensi kerajaan negeri pertama di Melaka yang melancarkan program sempena bulan kebangsaan di Melaka pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Zainal ber­kata, pemasangan Jalur Gemilang turut diwajibkan pada ha­ri-hari kebesaran peringkat Per­sekutuan dan negeri.

Katanya, langkah itu dibuat bagi memastikan setiap pemilik premis perniagaan menanam se­mangat jati diri serta sayang kepada negara.

Menurut beliau, pemilik pre­mis juga diminta memasang Jalur Gemilang pada hari-hari kebesaran peringkat Persekutuan iaitu pada sambutan Hari Malaysia 16 September dan hari ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan A­gong manakala peringkat negeri pula pada sambutan hari ulang tahun Yang Dipertua Nege­ri Melaka.