Pemeriksaan turut dijalankan terhadap 15 hotel yang menawarkan bufet Ramadan, sembilan premis pembekal bahan mentah, dua restoran dan empat kilang ais.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 sampel makanan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

“Jabatan Kesihatan negeri sen­tiasa menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 terutama berhubung kehendak pengendali makanan iaitu pakaian, suntikan anti tifoid dan kebersihan diri.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya bijak memilih premis makanan yang bersih ketika membeli juadah berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan ke tapak bazar Ramadan di Semabok Perdana, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ghazali Othman.

Sementara itu, Chee Leong memberitahu, sebanyak 11 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga yang ingkar (hotel dan restoran) membabitkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 2009.

“Operasi Ramadan ini bagi memastikan makanan yang dijual mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Pengendali makanan atau peniaga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kebersihan bagi memastikan juadah dijual tidak tercemar,” katanya.

Dalam pada itu, Chee Leong menasihatkan semua pengendali makanan mengamal dan meng­utamakan kebersihan semasa menyediakan juadah bagi memastikan juadah yang disediakan selamat dimakan.

“Usaha ini diharap dapat memberi kesedaran kepada penjual dan juga pengguna mengenai kepentingan kebersihan makanan, tempat penyediaan dan amalan yang berkaitan,” ujarnya.