Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri tidak lama lagi supaya semua pemaju projek tambakan pasir mematuhi arahan termasuk tidak beroperasi pada waktu malam sehingga mendatangkan bahaya kepada bot-bot nelayan kecil di Melaka.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemaju yang degil dan melanggar peraturan yang dimeterai dalam perjanjian penambakan pasir sebelum ini apabila ada di antara mereka yang menggunakan kapal di luar kawasan operasi serta beroperasi di luar waktu ditetapkan.

“Kerajaan negeri memandang serius tentang sikap segelintir pemaju projek tambakan pasir yang berdegil dan menyusahkan para nelayan mencari rezeki sama ada menutup laluan mereka keluar masuk atau beroperasi sehingga membahayakan bot nelayan.

“Kita akan usulkan supaya satu operasi standard dipatuhi dalam pelaksanaan kerja-kerja penambakan pasir di sepanjang perairan Melaka. Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, pihak penguat kuasa seperti Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) boleh mengambil tindakan termasuk mengenakan denda terhadap pemaju projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penerangan dan interaksi bersama 100 nelayan Kampung Hailam, Tanjung Keling di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pantai Kundur, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali.

Majlis penerangan dan interaksi itu dianjurkan Jabatan Perikanan negeri dan beberapa agensi berkaitan nelayan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pelabuhan Melaka, Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mendengar permasalahan para nelayan di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada permasalahan yang dihadapi oleh 1,543 nelayan di Melaka yang menggunakan 28 buah pangkalan kerana mereka hanya terlibat dalam kegiatan penangkapan ikan di pesisiran pantai yang beroperasi di zon A iaitu sehingga jarak lima batu nautika (9.25 kilometer) sahaja.

Katanya, pada masa yang sama kerajaan negeri juga akan memastikan kemudahan pangkalan bot di pesisir pantai Kampung Hailam ini akan dinaik taraf menggunakan Tabung Amanah Nelayan yang dikumpulkan di peringkat negeri untuk kemudahan para nelayan di kawasan itu.

Beliau berkata, bagi memastikan nelayan tidak terbeban dengan kenaikan harga peralatan tangkapan ikan yang mungkin dimanipulasi segelintir peniaga berikutan pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak lama lagi, pihaknya juga bercadang mewujudkan kedai nelayan yang dikendalikan oleh nelayan sendiri untuk menjual semua peralatan yang diperlukan nelayan.

“Kerajaan negeri juga akan me
minta kerjasama agensi berkaitan seperti LKIM, UPEN dan Petronas untuk membekalkan peruntukan bagi kita mendapatkan tukun tiruan untuk diletakkan di perairan negeri ini untuk membolehkan lebih banyak hasil ikan dapat dinikmati oleh para nelayan di negeri ini,” katanya.