Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerja pemasangan kabel elektrik projek berkenaan yang sepatutnya siap pada Ogos siap lebih awal hasil usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, TNB akan membekalkan tenaga elektrik 24 jam di pulau peranginan itu yang mempunyai banyak legenda.

“TNB berjaya mengatasi jadual yang ditetapkan dan dengan adanya bekalan elektrik di pulau ini, saya yakin pembangunan pesat akan berlaku pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pulau itu semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ghaffar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik.

Pembekalan elektrik ke Pulau Besar membabitkan 12 menara bermula dari Pantai Siring sejauh 4.7 kilometer yang akan membekalkan tenaga elektrik pada kapasiti lima megawatt hingga kapasiti maksimum 132 megawatt.

Projek yang bermula sejak 5 November 2012 lalu itu bertujuan menjadikan Pulau Besar, yang berkeluasan 129.64 hektar dan menempatkan resort serta kawasan bersejarah, sebagai satu daripada produk pelancongan utama di Melaka.

Dalam perkembangan lain, Idris mencadangkan agar pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama agensi berkaitan berbincang bagi menggunakan enakmen-enakmen tertentu dan akta hak persendirian (private property act) bagi mencegah aktiviti khurafat di pulau berkenaan.

Ini kerana katanya, pulau itu se­ring menjadi tumpuan pelancong namun begitu terdapat segelintir pengunjung gemar melakukan aktiviti khurafat yang sememangnya bertentangan dengan agama Islam.

“Kita telah melakukan pelbagai usaha bagi membendung aktiviti tidak sihat ini namun ianya kurang berhasil kerana perlaksanaan hukuman tidak boleh dijalankan terhadap orang bukan Islam,” katanya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan, kerja-kerja menaik taraf Sekolah Menengah Tahfiz Pulau Besar sedang giat dijalankan membabitkan peruntukan sebanyak RM2.3 juta.

Tambahnya, pihak kontraktor komited dalam menjalankan kerja naik taraf bagi memperbesarkan sekolah ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri berharap apabila siap sekolah tahfiz ini kelak mampu memberi kemudahan lebih selesa kepada pelajar untuk menghafaz al-Quran,” katanya.