Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pertanian Melaka, Datuk Isnin Aman berkata, sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh masyarakat, pendidikan anak-anak masa kini adalah tanggungjawab yang perlu dijadikan agenda utama setiap kepimpinan yang dipilih.

Beliau berkata, para pelajar di kawasan luar bandar amat memerlukan keprihatinan dan kesungguhan wakil-wakil rakyat ini untuk memberikan yang terbaik kepada mereka terutamanya program pendidikan tersusun bagi anak-anak muda masa kini.

"Pelajar hari ini akan mewarnai kehidupan masyarakat masa akan datang. Maka, kepimpinan sekarang wajib memberikan contoh pimpinan yang terbaik dan terpuji.

"Corak pembelajaran yang terkini wajib diterapkan dalam pembelajaran dan contoh-contoh kepimpinan yang baik harus dipelajari oleh para pelajar bak kata pepatah, 'Baik pelajar hari ini, sudah tentu baik masa depan negara'"," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinang berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pemimpin Turun Padang di Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, pengetua sekolah berkenaan, Azman Md. Dom dan lebih 300 pelajar sekolah tersebut.

Menurut Isnin, wakil rakyat yang dipilih kelak perlu bersama dengan pihak sekolah di kawasan yang diwakili membangunkan pendidikan serta memastikan pencapaian akademik dan siasah pelajar sentiasa dalam keadaan baik.

"Wakil rakyat yang dipilih nanti sepatutnya tidak 'malu' untuk memberikan peruntukan khas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah agar pihak sekolah dapat melakukan perancangan yang terbaik buat para pelajar," katanya. - UTUSAN ONLINE