Ketua Polis Melaka, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, sejak Mei 2016 sehingga kini, sebanyak lapan individu di negeri ini telah ditangkap kerana dikenal pasti terlibat dalam kegiatan militan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Beliau berkata, jumlah tangkapan itu menunjukkan satu indikator yang sangat serius dalam menangani masalah tersebut.

“Balai-balai polis terutamanya yang terletak di kawasan terpencil mudah untuk menjadi sasaran dan dengan itu, kepekaan terhadap keselamatan balai perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Setiap lapisan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khusus-nya Kontinjen Melaka diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tanamkan perasaan curiga terhadap persekitaran sekeliling dalam usaha untuk memastikan ke­selamatan petugas, senjatapi dan balai berada di tahap maksima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka anjuran Cawangan Khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) ne-geri di Bukit Beruang di sini .

Yang turut hadir, Ketua Cawa­ngan Khas negeri, Asisten Komisioner Borhan Daud.

Dalam pada itu, Abd. Jalil berkata, polis negeri ini telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam sebarang situasi sepanjang proses itu berlangsung.

Katanya, sebanyak 2,900 anggota dan pegawai termasuk 700 orang dari Bukit Aman akan ditugaskan di negeri ini bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman awam sepanjang proses tersebut.

“Latihan simulasi yang dijalankan di semua daerah akan memberi keyakinan untuk bertugas sepanjang pembubaran Parlimen, pengumuman calon, hari pengundian serta sebelum dan selepas pengumuman keputusan.

“Pihak polis juga memberi ja-minan kepada masyarakat di ne-geri ini, proses pilihan raya akan berjalan lancar untuk mereka berasa yakin keluar melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.