Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, satu jawatankuasa teknikal khas telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) iaitu agensi pelaksana projek ini untuk memastikan ia dijenamakan semula dan dibangunkan secara lebih tersusun.

Katanya, antara langkah pembangunan yang dirancang adalah membangunkan aktiviti ekonomi merangkumi pertanian berbumbung, pertanian terbuka dan perikanan.

Selain itu, kata beliau, pelan tersebut akan mengadakan kerjasama antara anak syarikat kerajaan negeri dan swasta, menyediakan pembangunan insaniah peserta serta pembangunan keusahawanan mereka.

“Model projek ini amat sukar untuk kita pertahankan, kita ada tanah yang luas iaitu kira-kira 6 hektar tapi bilangan peserta sahaja kita ada 70 orang, kalau gaji peserta itu RM1,000, kita memerlukan RM70,000 sebulan untuk membayar kos peserta.

“Untuk itu kita memerlukan struktur pertanian yang berteknologi tinggi dan mencari jalan baharu untuk memastikan ia mampu membayar dan menjaga kebajikan peserta yang merupakan golongan asnaf,” katanya.

Adly (PH-Bukit Katil) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) yang bertanyakan status program itu pada Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Seri Negeri di sini hari ini.

Projek Rimbunan Kaseh bermula pada Mei 2013 dengan 70 peserta untuk jangka masa lima tahun namun prestasi syarikat pengendali projek itu merosot menyebabkan nasib 68 peserta ketika ini terumbang-ambing.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan rintihan peserta projek itu yang bakal kehilangan mata pencarian apabila projek tanaman fertigasi di kawasan itu terbengkalai. - UTUSAN ONLINE