Athirah Abdullah, 17, dari Kampung Belimbing Dalam di sini berkata, buku teks dan rujukan Sejarah berkenaan penting untuk membantunya menjawab subjek Sejarah kertas 3 yang akan berlangsung esok.

“Esok subjek Sejarah kertas 3, peperiksaan itu boleh buka buku teks dan rujukan tapi sedih sebab semua bahan rujukan rosak dan tidak boleh digunakan sedangkan semalam sebelum ke sekolah buku berkenaan telah diletakkan di atas almari.

“Saya hanya mampu mena­ngis apabila melihat tiada buku yang dapat diselamatkan dan serabut apa yang hendak dijawab kerana bahan kurang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Belim­bing Dalam di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari meluangkan masa hampir satu jam melawat dan menyerahkan bantuan banjir kepada 284 mangsa daripada 76 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak semalam.

Mengulas lanjut, Athirah berkata lebih menyedihkan lagi pakaian sekolah untuk digunakan sepanjang peperiksaan SPM hanya tinggal sehelai kerana yang lainnya tidak dapat dise­lamatkan.

“Nasib baik ada sepasang baju sekolah yang boleh digunakan. Itu pun baju yang saya sudah pakai semalam. Masa kejadian hanya emak dan ayah yang ada di rumah namun tidak banyak yang dapat diselamatkan sebab air naik terlalu cepat,” katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia telah memaklumkan nasibnya itu kepada guru sekolahnya dan berharap mereka dapat membantu untuk mendapatkan bahan rujukan atau buku teks bagi subjek ber­kenaan.

Rumlah Kassim, 60, dari kampung sama pula berkata, hanya dokumen penting seperti geran rumah, motosikal dan surat beranak dapat diselamatkan kerana ketika kejadian hanya tiga anak­nya yang berusia 15 hingga 25 tahun berada di rumah, manakala dia dan suami, Rosli Taid, 60, berada di laut menangkap ikan.

Menurutnya, dia dan suami­nya menerima panggilan daripada salah seorang anaknya yang memaklumkan bahawa rumah mereka dinaiki air kira-kira 12.40 tengah hari semalam sebelum bergegas pulang.

“Sebaik tiba di rumah kira-­kira 1.30 tengah hari air memang sudah naik paras pinggang. Air naik terlalu cepat hingga paras dada dan baju pun tidak sempat ambil kerana dah ditenggelami air. Sedih dan hanya mampu menangis. Tidak tahu hendak cakap apa,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri menggesa mangsa banjir membuat laporan polis bagi memudahkan bantuan di­salurkan segera, mudah dan tepat.

Beliau berkata, bantuan awal telah mula dilaksanakan bermula dengan pembukaan pusat pemindahan banjir, bantuan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa.

“Bantuan pasca banjir pula kita akan putuskan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok setelah kita mendapat maklumat tepat jumlah mangsa yang terlibat,” katanya. – BERNAMA