Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pelajar juga harus mempertingkatkan kebolehan mereka menguasai ilmu komunikasi ter­utamanya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selain mempelajari bahasa-bahasa lain sebagai nilai tambah.

“Pada masa yang sama, pe­nguasaan ilmu hendaklah seiring dengan nilai-nilai murni, menghayati nilai agama dan moral sebagai petunjuk dalam menempuh kehidupan di masa hadapan.

“Saya menyeru kepada ibu bapa pelajar agar turut memainkan peranan dengan memberi sokongan dan tidak menyerahkan urusan ini kepada guru dan sekolah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Sekolah Menengah Teknik Melaka (SMTM) di Bukit Piatu di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari dan Pengetua SMTM, Karim Tumin.

Majlis sambutan hari raya anjuran SMTM itu julung kali diadakan secara besar-besaran dengan kehadiran kira-kira 2,000 jemputan.

Adly yang juga bekas pelajar SMTM pernah me­nuntut di sekolah itu dalam bidang Kejurute­raan Mekanikal pada tahun 1987 hingga 1988.

Menurut Adly, dunia pendidikan hari ini semakin mencabar dan cara didikan kepada pelajar juga perlu berubah seiring per­ubahan masa.

“Apatah lagi dengan kehadiran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) menjelang tahun 2020 dan untuk itu kerajaan menjangkakan pelbagai pembaharuan serta perubahan akan berlaku kepada kehidupan manusia,” katanya.