Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Seri Md. Yunos Husin berkata, daripada jumlah tersebut juga, seramai sembilan pelajar mendapat gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran.

“Seramai 10,762 pelajar iaitu 87 peratus daripada 12,371 pelajar Sekolah Kementerian Pendidikan negeri ini layak mendapt sijil SPM. Secara keseluruhannya keputusan peperiksaan SPM di negeri Melaka telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

“Dengan hampir 97 peratus sekolah di negeri Melaka mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik daripada 6.75 menggambarkab bahawa Jabatan Pendidikan Melaka telah melaksanakan tugas dengan baik dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar berhubung keputusan rasmi peperiksaan SPM 2017 sekolah-sekolah di negeri ini di Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari.

Sementara itu, pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Tee Ker Yin, 18, yang berjaya memperoleh keputusan 11A+ memberitahu, dia hanya memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas serta sering membuat ulang kaji di rumah.

“Saya tidak jangka akan mendapat keputusan yang cemerlang ini. Setiap hari, saya pasti mengulangkaji setiap mata pelajaran selama tiga jam supaya benar-benar faham dan boleh menjawab sebarang soalan.

“Saya juga aktif dalam kokurikulum termasuk mengikuti kelas taekwondo serta renang dan dalam masa sama perlu membahagikan masa untuk bersama dengan keluarga serta rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi pelajar cemerlang dengan keputusan 10A+ dari sekolah yang sama, K.M. Bhavini, 18, berharap supaya dia dapat menyambung pengajian di pe-ringkat seterusnya dengan tawaran biasiswa.

“Saya juga berharap untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan dan belajar di luar negara,” katanya.