Muzium tersebut yang mempamerkan sejarah dan fakta-fakta tepat mengenai sejarah kewujudan, budaya dan warisan pe­ninggalan masyarakat Naning yang terkenal suatu ketika dahulu itu dibuka setiap hari kecuali pada hari Isnin bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas berkata, sebagai permulaan pengunjung boleh memasuki muzium dua tingkat itu secara percuma sehingga 26 Jun depan.

“Selepas tarikh itu bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM2 bagi dewasa manakala kanak-kanak dikenakan bayaran sebanyak RM1.

“Muzium ini dapat memberi maklumat berguna kepada pe­ngunjung, khususnya mereka yang ingin mengetahui sejarah, kebudayaan, adat dan warisan masyarakat Naning lebih-lebih lagi pencinta dan pengkaji sejarah Naning,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian muzium itu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Pembangunan Belia negeri, Datuk Norpipah Abdol; Timbalan Pengerusi Perzim, Datuk Hamdin Abdullah dan Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma), Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Bangunan Muzium Warisan dan Sejarah Naning dibina oleh Public Work Department (PWD) pada tahun 1951 dan siap sepenuhnya pada 1953 untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Adat Perpatih Naning.

Ia yang terletak di Bukit Na­ning, Simpang Ampat pernah dijadikan kediaman dan balai rasmi Penghulu Naning yang mula digunakan pada tahun 1953 oleh Penghulu Haji Mohd. Shah Mohd. Said Al-Haj.

Pada 2 Mac 2015, Pejabat Da­erah dan Tanah Alor Gajah telah mengeluarkan notis pengoso­ngan bangunan ini seterusnya di­serahkan kepada Perzim pada 9 April 2015 untuk kerja-kerja penambahbaikan. Kerja-kerja itu bermula pada 15 April 2015 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun tahun yang sama.

Bangunan ini seterusnya telah dicadangkan sebagai Muzium Warisan dan Sejarah Naning dan kini ia telahpun direalisasikan.

Penubuhan muzium ini adalah untuk mempamerkan sejarah dan warisan Naning untuk tatapan umum dan juga sebagai pusat penyebaran maklumat dan rujukan berkaitan Naning.