Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berkata, penjenamaan semula itu adalah untuk menghargai jasa-jasa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam memperkasakan perkhidmatan awam, khususnya JKDM.

"Dalam pada itu, nama Ali juga adalah sinonim dengan negeri Melaka terutamanya di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bendahara Sri Nara Diraja Tun Ali adalah merupakan Bendahara atau Perdana Menteri keempat di Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.

"Saya dan seluruh warga kastam berharap agar Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa ini akan menjadi sebuah lagi daya tarikan unggul kepada pengunjung, sesuai dengan kedudukannya di tepi Sungai Melaka yang merupakan sebuah pelabuhan termasyhur di rantau ini suatu ketika dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Muzium Kastam Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang dirasmikan oleh Ali sendiri.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas. - UTUSAN ONLINE