Program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat itu yang diadakan setiap tahun bagi membantu tiga golongan iaitu murid dan pelajar sekolah di kawasan sekitar loji MRCSB, mereka yang kurang berkemampuan serta anak-anak bekas kakitangannya.

HASHIM MAJID bersama kakitangan
HASHIM MAJID (berdiri belakang tiga dari kanan) bergambar bersama kakitangan Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. (MRCSB) dan sebahagian daripada murid yang menerima bantuan peralatan sekolah pada program Kembali ke Sekolah anjuran syarikat itu di syarikat pakaian sekolah Bee Loon di Kampung Bukit China, Melaka sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

Ketua Pegawai Eksekutif MRCSB, Hashim Majid berkata, menerusi program ini, setiap pelajar atau murid diperuntukkan sebanyak RM250 setiap seorang iaitu RM100 untuk membeli peralatan sekolah seperti pakaian dan kasut serta RM150 untuk bayaran yuran persekolahan tahun hadapan.

“Sumbangan untuk bantuan yang diagihkan menerusi program ini diperoleh daripada kutipan para kakitangan MRCSB di mana kita turut mendapat kutipan daripada Badan Kebajikan Islam Petronas (Bakip), Persatuan Isteri dan Kakitangan Petronas (Petronita) dan Kelab Profesional Muda Petronas (YPC).

“Tujuan kita mengadakan program seperti ini adalah bagi meringankan beban penerima dan pada masa yang sama MRCSB sebagai sebuah syarikat penapisan minyak berkongsi keuntungan yang diperoleh untuk diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Kembali ke Sekolah anjuran MRCSB di syarikat pakaian sekolah Bee Loon di Kampung Bukit China di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengurus Besar Jabatan Kewangan MRCSB, Nik Amri Nik Mohamad dan Pengurus Besar Jawatan Perkhidmatan Teknologi MRCSB, Ahmad Sazali Mudzakir.

SEBAHAGIAN daripada murid Sekolah Kebangsaan Pantai Kundur
SEBAHAGIAN daripada murid Sekolah Kebangsaan Pantai Kundur leka memilih peralatan sekolah sumbangan Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. (MRCSB) pada program Kembali ke Sekolah anjuran syarikat itu di syarikat pakaian sekolah Bee Loon di Kampung Bukit China, Melaka sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

Kesemua 11 sekolah yang menerima bantuan dalam program tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Kundur; SK Kampung Gelam; SK Lereh; Sekolah Agama Sri An Nuriah; SK Tangga Batu; SK Sungai Udang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung; SMK Kampung Gelam; SMK Sungai Udang; Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ahmadi dan SMA An-Nuriah.

Menurut Hashim, pihaknya akan meneruskan program CSR seperti itu malah sumbangan syarikat kepada masyarakat tidak hanya tertumpu kepada persediaan sebelum sekolah dibuka sebaliknya mereka turut mengadakan program bantuan setiap kali menyambut perayaan utama dan bantuan kebajikan lain. - UTUSAN ONLINE