Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, tempoh tersebut dilihat memadai untuk mereka memohon bantuan geran itu yang akan digunakan dalam pelbagai aktiviti di kawasan komuniti masing-masing.

Katanya, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Pusat kepada setiap negeri bagi mengeluarkan bantuan G-Kom kepada komuniti masyarakat pada tahun ini.

“Kita menggalakkan semua persatuan penduduk di negeri ini memohon peruntukan geran itu dan kerajaan negeri yakin tempoh diberikan cukup untuk setiap persatuan membuat persediaan dan perancangan untuk aktiviti kawasan masing-masing.

“Bagi kategori permohonan geran biasa, sebanyak RM10,000 diperuntukkan untuk setiap geran manakala tahun ini juga, ROS Melaka memperkenalkan dua kategori baharu iaitu geran mandatori dan geran penghargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup program Taklimat Pemberian G-Kom 2019 kepada wakil-wakil persatuan penduduk negeri ini di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah ROS Melaka, Nurhafidah Ali.

Menurut Chee Yee, permohonan geran biasa adalah sebanyak RM10,000 manakala geran kategori penghargaan dan mandatori masih belum diputuskan nilainya namun dijangka lebih daripada geran permohonan biasa.

Geran penghargaan dikhususkan kepada persatuan penduduk yang membelanjakan keseluruhan peruntukan geran pada tahun sebelaumnya dengan sempurna serta pernah menerima pengiktirafan di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.

Geran mandatori pula dikhususkan kepada persatuan penduduk yang berada dalam kawasan kejiranan berisiko tinggi antaranya kadar jenayah yang tinggi, tumpuan pengedaran dadah serta lokasi penyebaran wabak penyakit seperti denggi dan penyakit bawaan vektor. - UTUSAN ONLINE