Timbalan Pengerusi Jawatan­kuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata, modal bagi mendapatkan bahan itu juga tidaklah begitu mahal berbanding penggunaan simen biasa.

“Setelah melihat keberkesanan bengkel yang dianjurkan, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bercadang untuk mengeluarkan modal bagi sukarelawan yang mahu membaiki bangunan lama menggunakan mortar kapur.

“Kami juga berharap golo­ngan belia dapat terlibat dalam program sukarelawan itu nanti bagi meningkatkan semangat mencintai bangunan-bangunan lama atau warisan di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas dan Pensyarah Kanan Jabatan Ukur Bangunan Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM), Dr. Rodiah Zawawi.

UM de­ngan kerjasama Perzim telah me­nganjurkan Bengkel Mortar dan Lepaan Kapur selama tiga hari mulai 20 Februari lalu di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di sini.

Sementara itu, Rodiah memberitahu, orang ramai termasuk pihak kontraktor perlu me­ngubah persepsi mereka terhadap penggunaan mortar kapur yang disang­ka lemah untuk membaiki bangunan.

“Sebenarnya, ada teknik yang perlu dipelajari kerana mortar kapur bersifat lembut dan mampu bertahan dengan lebih lama berbanding simen biasa yang keras.

“Penggunaan mortar kapur ini juga membuatkan bangunan-bangunan lama mampu untuk bernafas semula, secara langsung memanjangkan lagi jangka ha­yatnya,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, penganjuran bengkel itu yang disokong oleh Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan UM Cares memen­tingkan aspek praktikal untuk peserta mereka.

“Kira-kira 20 peserta yang terlibat bukan sahaja diberikan pendedahan secara teori, malah mereka diberi peluang untuk mengaplikasikan kaedah secara praktikal.

“Dengan cara ini, mereka akan lebih memahami apa yang mahu disampaikan dan setiap kesilapan yang dilakukan dalam sesi praktikal itu boleh menjadi pengajaran kepada mereka,” jelasnya.