Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Baderol Sham Saad berkata, pemasangan secara percuma sejak April tahun lalu itu telah mendapat reaksi yang positif daripada pengguna termasuk barisan Exco kerajaan negeri.

Katanya, ia selari dengan hasrat kerajaan negeri sebagai negeri maju berteknologi hijau.

"Selain itu, ia memudahkan pengguna kerana di samping mengetahui kadar penggunaan tenaga elektrik, pembayaran bil pula dibuat secara atas talian.

"Perbezaan dengan meter biasa, pengguna boleh ketahui jumlah tenaga elektrik yang diguna setiap hari dan boleh kesan kebocoran elektrik menggunakan gajet khas.

"TNB ada rancangan untuk perluaskan penggunaannya di seluruh negara selepas selesai projek rintis ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jalinan Pendidikan TNB Bersama-sama Kami di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, guru besar sekolah tersebut, Adam Mohamad.

Program tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada murid dan guru di sekolah itu tentang kegunaan, keselamatan serta peralatan elektrik yang digunakan oleh TNB.

Pada majlis itu, sebanyak 35 pelajar menerima sumbangan Deepavali serta hamper berupa keperluan harian.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh yang juga seorang pengguna, Mohd. Arif Yusa berkata, penggunaan meter pintar itu secara tidak langsung membantu mendidik pengguna dalam menjimatkan tenaga elektrik.

"Di taman ini ada lebih 4,000 penduduk tetapi TNB berlaku adil dengan mengadakan perjumpaan serta memilih penduduk yang sukarela untuk projek rintis ini.

“Nampak ada komunikasi serta perbincangan dan saya sendiri ditemui sebanyak dua kali oleh pihak TNB untuk mengetahui maklum balas,” katanya.

Kata Mohd. Arif, sehingga kini rata-rata penduduk berpuas hati dengan penggunaan meter pintar itu kerana membantu mengawal penggunaan kadar elektrik di rumah masing-masing.